Search

Sunday, January 9, 2011

Hot News - Banjier di Kelantan Makin Teruk


KAWASAN Bebas Cukai Rantau Panjang masih digenangi air selepas pusat perniagaan itu mula banjir sejak minggu lepas. – MINGGUAN/ROSNI MASRI

KOTA BHARU 8 Jan. – Situasi banjir di Pantai Timur Semenanjung Kelantan negeri ini yang bertambah buruk apabila jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan bertambah berbanding semalam.

Di negeri ini, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 2,236 orang membabitkan 634 keluarga berbanding 931 orang semalam.

Jumlah tersebut dijangka terus meningkat selepas Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga bagi negeri itu akan berterusan beberapa hari lagi.

Menurut portal rasmi banjir negeri ini, ebanjir.kelantan.gov.my, sehingga pukul 6 petang ini, 25 pusat pemindahan banjir telah dibuka berbanding hanya 15 semalam iaitu 16 di jajahan Pasir Mas, Kota Bharu (lima) manakala masing-masing satu di Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

Jajahan Pasir Mas masih menjadi kawasan yang terjejas teruk apabila 1,749 mangsa dipindahkan membabitkan 529 keluarga.

Sementara itu, lima jalan di Pasir Mas masih belum boleh dilalui kenderaan ringan iaitu Jalan Pengkalan Rakit di Kilometer 3, Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Kilometer 9), Jalan Tendong-Bunut Susu (Kilometer 3), Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu (Kilometer 10) serta sepanjang Jalan Pohon Tanjung menuju ke Meranti.

Persimpangan Jalan Cabang 4, Kampung Jambu dan Meranti di Kilometer Sembilan, Tumpat turut ditutup untuk laluan kenderaan ringan.

Bacaan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang turut meningkat kepada 10.32 meter iaitu melebih paras bahaya pada kedalaman sembilan meter manakala kebanyakan sungai lain menunjukkan paras berjaga-jaga.

Dalam pada itu, Penyelia Kanan Kemas Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa melalui kenyataan akhbar hari ini memaklumkan 16 Tabika Kemas di daerah itu akan ditutup esok selepas dinaiki air sedalam lebih satu meter.

“Tabika Kemas yang terlibat adalah di Serungga, Tok Derpah, Siram, Bonggor, Bakong, Meranti, Pohon Tanjung, Lunok Setol, Kampung Rahmat dan Gual Sitok 1.

“Turut ditutup Gual Sitok NKRA, Taman Rantau Mas 1, Taman Rantau Mas NKRA, Kompleks Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Lubok Gong, Tok Deh dan Gual Periok,” katanya.

Sementara itu, Mingguan Malaysia juga dimaklumkan bahawa 18 sekolah masih ditutup membabitkan 9,274 pelajar.

Daripada jumlah itu, 10 sekolah adalah di Rantau Panjang, empat di Tumpat, dua di Pasir Mas dan juga Gua Musang.

Di Terengganu pula, keadaan banjir di beberapa daerah semakin pulih dengan hanya 254 mangsa masih berada di 10 pusat pemindahan berbanding 1,000 orang semalam.

Jurucakap MKN negeri itu berkata, dengan keadaan hujan mulai reda hari ini, kesemua 390 mangsa di Hulu Terengganu yang berpindah telah dibenarkan pulang.

Di Setiu, hanya 102 daripada 430 orang yang masih berada di empat pusat pemindahan di Balai Raya Beris Tok Ku, Surau Taman Hijrah, Sekolah Kebangsaan (SK) Rhu Sepuluh dan Kelab Kampung Mangkok.

Di Besut pula, cuma terdapat 121 lagi mangsa ditempatkan di SK Tembila, Balai Raya Kampung Padang Cili, Surau Beting Lintang dan Balai Serbaguna Kampung Pengkalan Kubu.

Di Kemaman dan Dungun kini hanya menempatkan 31 mangsa daripada lapan keluarga yang masih berada di tiga pusat pemindahan.

Dalam pada itu, sehingga pukul 6 petang, hanya dua batang sungai berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai dan Sungai Setiu di Ibu Bekalan.

Keadaan sama juga di Pahang apabila banjir di negeri tersebut semakin pulih dengan hanya 18 mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan di Chendor selepas 226 yang lain dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, jumlah itu menurun mendadak berikutan cuaca yang agak baik sejak semalam.

Katanya, semua mangsa terbabit merupakan empat keluarga dari Kampung Chendor Tengah yang masih ditempatkan di Balai Raya Chendor.

“Pada pagi ini, 188 orang ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir, namun sehingga pukul 4 petang ini, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kecuali 18 orang di Balai Raya Chendor,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails