Search

Saturday, January 8, 2011

Hot News - Banjir di pantai timur makin buruk


Penduduk mengharungi banjir selepas sembahyang Jumaat di Kampung Bukit Tadok Hulu Terengganu,semalam


KOTA BHARU 7 Jan. – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini semakin meningkat petang ini iaitu seramai 931 orang daripada 244 keluarga berbanding hanya 376 mangsa yang dilaporkan pada sebelah pagi.

Keadaan itu dijangka bertambah buruk berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga bagi negeri ini sehingga malam esok.

Menurut laman portal rasmi banjir Kelantan, http://ebanjir.kelantan.gov. my, sebanyak 15 buah pusat pemindahan dibuka di lima jajahan iaitu lapan di Pasir Mas, Kota Bharu (tiga), Tanah Merah (dua) dan masing-masing sebuah di Pasir Puteh serta Bachok.

Daerah Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa yang tertinggi iaitu 651 orang dan kebanyakannya dari Rantau Panjang manakala Kota Bharu (192), Bachok (68), Pasir Puteh (15) dan Tanah Merah (lima orang).

Pada masa sama, enam jalan di Pasir Mas dan Tumpat ditutup untuk kenderaan ringan iaitu Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang, Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas dan Jalan Rantau Panjang Panjang-Panglima Bayu yang kesemuanya di Pasir Mas.

Di Tumpat jalan yang ditutup ialah Jalan Cabang 4-Kampung Jambu-Meranti.

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang sejak pagi ini menunjukkan peningkatan serta melebihi paras berbahaya dengan bacaan terakhir pada pukul 6 petang ialah pada 10.23 meter.

Tiga stesen bacaan paras air di Sungai Kelantan iaitu di Tangga Krai, Jambatan Guillemard dan Tambatan D‘Raja berada pada paras berjaga-jaga serta menunjukkan penurunan yang amat sedikit.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Tumpat mendapati sebuah masjid di Kampung Bendang Pak Yong tidak dapat digunakan untuk solat Jumaat disebabkan jemaah tidak mencukupi kerana banjir.

Bagaimanapun tidak ada yang berpindah setakat ini disebabkan air tidak terlalu dalam.

Di Rantau Panjang pula, tentera telah mula masuk memberikan bantuan kepada para penduduk biarpun tujuh daripada 23 pos sempadan turut ditenggelami air.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Timur Keretapi Tanah melayu Berhad (KTMB), Ibrahim Sulaiman berkata, perkhidmatan kereta api di Pasir Mas sehingga kini tidak terjejas meskipun beberapa kawasan di daerah itu ditenggelami air.

“Bagaimanapun keadaan bergantung kepada paras air Sungai Golok. sekiranya sungai itu melimpah sehingga ke kawasan Danau Tok Uban dan Sungai Keladi maka kawasan landasan juga biasanya turut terjejas dan ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu, di TERENGGANU banjir yang melanda negeri ini semakin buruk dengan enam daripada tujuh daerah iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut dilanda bencana alam itu berikutan hujan lebat yang berterusan sejak kelmarin.

Jurucakap Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata, sehingga pukul 6.40 petang ini 946 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir berbanding 900 mangsa petang semalam.

Sebanyak lapan buah pusat pemindahan banjir yang baru telah dibuka menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi kini sebanyak 26 buah.

Bagaimanapun, keadaan di Marang sudah kembali pulih setelah dua mangsa daripada satu keluarga dibenarkan pulang petang ini.

Sebanyak 13 laluan masih ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud ketika dihubungi pula berkata, berikutan banjir itu, 35 daripada 61 sekolah di Hulu Terengganu terpaksa ditutup berikutan laluan ke sekolah berkenaan dinaiki air.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 30 daripadanya ialah sekolah rendah manakala lima adalah sekolah menengah.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding hanya sembilan buah sekolah yang ditutup di daerah itu semalam akibat dinaiki air.

“Di Setiu pula laluan ke enam buah sekolah sekitar Kuala Nerus ditutup berbanding 12 buah sebelum ini,” katanya.

“Sementara itu, dua laluan menuju ke sekolah di daerah Besut yang ditutup sebelum ini kini dibuka semula,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails