Search

Thursday, January 6, 2011

Hot News - Harga Bawang Naik Mendadak



TEMERLOH – Selain santan segar, harga bawang yang dijual di daerah ini juga turut naik secara mendadak sejak beberapa bulan lalu.

Tinjauan Sinar Harian ke Pasar Besar Temerloh pagi semalam mendapati orang ramai mula merungut mengenai harga beberapa barang antaranya produk berasaskan kelapa dan bawang yang meningkat lebih lima kali ganda.

Seorang pengunjung, Mat Lazim Othman, 57, berkata, harga beberapa barang berasaskan kelapa semakin berkurangan malah jika ada sekali pun harganya sangat mahal.

Menurutnya, selain harga barangan berasaskan kelapa, dia juga terkejut apabila mendapat tahu harga bawang putih meningkat daripada RM6.50 seguni kepada RM35 sekarang.

“Kenaikan harga barang turut membimbangkan orang ramai terutama mereka yang ingin mengadakan kenduri. Harga barang naik secara mendadak tentu merumitkan lagi keadaan,” katanya.

Pengguna, Zulkafli Abdullah, 43, berkata, dia membeli bawang putih bulan lalu dengan harga RM10 sekilogram selain menghadapi kesukaran untuk mendapatkan minyak masak.

Menurutnya, peningkatan harga bawang sejak dua bulan lalu amat mengejutkan sekali gus membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Peniaga, Ali Hussin Gulam Ali, 64, berkata, dia menerima bekalan bawang putih dengan harga RM35 seguni dan terpaksa menjual dengan harga RM10 sekilogram.

Menurutnya, harga bawang kecil Burma naik daripada RM8.50 kepada RM20 seguni manakala bawang besar daripada RM6.50 kepada RM18 seguni.

“Kami tidak tahu punca kenaikan ini. Malahan, ramai pengguna merungut berhubung kenaikan harga beberapa barang lain sejak kebelakangan ini.

“Faktor paling jelas peningkatan harga barang keperluan adalah berikutan harga minyak mentah yang semakin meningkat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails