Search

Saturday, January 8, 2011

Hot News - Kes Beng Hock : Kerajaan Tubuh Suruhanjaya Diraja


PUTRAJAYA 7 Jan. - Kerajaan akan mewujudkan satu Suruhanjaya Diraja untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunapakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses siasatan terhadap mendiang Teoh Beng Hock.

Mengumumkan demikian hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun menolak dakwaan sebarang 'tekanan politik' kerana penubuhan suruhanjaya itu telah diumumkan oleh beliau pada 22 Julai 2009

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja itu akan diwujudkan dengan terma-terma khusus yang akan ditetapkan dan pihak kerajaan akan melantik ahli-ahli suruhanjaya daripada mereka yang terbilang dan dihormati.

Kata beliau, suruhanjaya itu juga akan ditubuhkan selama tempoh tiga bulan selepas satu tauliah pelantikan Pesuruhjaya dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 2 Akta 119 dan boleh dilanjutkan untuk tempoh masa seperti mana yang dibenarkan di bawah Seksyen 5 Akta 119.

"Saya telah dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa beliau akan memfailkan satu permohonan semakan (revision) di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyemak keputusan Majisret (Rabu lalu).

"Bagaimanapun, pihak kerajaan akan meneruskan keputusan yang telah dibuat sebagaimana yang telah saya nyatakan pada 22 Julai 2009 untuk mewujudkan satu Suruhanjaya Diraja berkenaan.

"Pelantikan anggota suruhanjaya ini akan diumumkan selepas mesyuarat Kabinet Rabu depan," kata Perdana Menteri pada sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini.

Kelmarin, Mahkamah Koroner Shah Alam membuat satu keputusan terbuka di dalam inkues yang telah dibuat ke atas kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu dengan mengesahkan Beng Hock menemui ajal bukan akibat dibunuh.

Koroner Azmil Muntapha Abas semasa membacakan keputusan bagi inkues menyiasat kematian Beng Hock turut menolak kemungkinan lelaki itu membunuh diri atau wujudnya tindakan pihak ketiga dalam kes tersebut.

Keputusan mahkamah itu bagaimanapun tidak dapat diterima oleh para penyokong dan ahli keluarga Beng Hock.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima, koridor Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Sehubungan itu, Najib meminta semua pihak termasuk ahli keluarga Beng Hock yang prihatin terhadap undang-undang negara supaya tidak terbawa-bawa dengan emosi berikutan keputusan Mahkamah Koroner itu.

"Kita semua mahu mengetahui apa yang sebenarnya terjadi dan kerajaan juga mahu tahu kebenarannya.

"Kita akan melakukan yang terbaik untuk mencari kebenarannya. Kita faham kebimbangan pihak keluarga Beng Hock dan bersimpati dengan apa yang telah terjadi.

"Diharap mereka membenarkan proses ini dijalankan dan berharap kita dapat membina bukti apa yang telah terjadi," kata Najib.

Ditanya tentang permintaan keluarga mendiang untuk menemuinya, Perdana Menteri berkata, beliau boleh menemui mereka tetapi tidak dapat memastikan bila masanya.

"Tetapi yang lebih penting ialah membenarkan (dulu) Suruhanjaya Diraja ini berfungsi," katanya.

Mengenai pandangannya sama ada keputusan inkues itu berjaya membuktikan kebenaran kepada keluarga Beng Hock, beliau berkata:

"Kita akan melihat semula tetapi saya harap dengan penubuhan suruhanjaya ini dapat mendekatkan kita dengan kes ini.

"Pada pandangan saya, perkara ini tidak penting tetapi yang penting ialah proses-proses yang telah dilakukan dan secara keseluruhannya kerajaan mahukan keputusan itu disemak semula," katanya.

Sumber:Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails