Search

Sunday, January 9, 2011

PM jumpa semua wakil rakyat BN


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Barisan Nasional (BN) hari ini mencatat sejarah baru apabila buat kali pertama semua ahli Parlimen parti itu mengadakan pertemuan empat mata secara bergilir-gilir dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh lapan jam bagi menyampaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.

Pertemuan bersejarah di Perdana Suite, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini itu merupakan sebahagian rangka Pelan Transformasi Politik (PTP) sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri demi memastikan BN dapat melaksanakan khidmat kepada rakyat dengan efektif.

Perjumpaan tertutup itu bagaimanapun tidak membabitkan ahli Parlimen berstatus menteri yang mempunyai sesi pertemuan lain di samping tujuh ahli Parlimen yang tidak hadir atas sebab munasabah dan kesemua wakil rakyat tersebut sudah memberi penjelasan bertulis kepada Najib.

Sesi berkenaan bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir kira-kira 5.30 petang dengan tiga ahli Parlimen dari Sarawak iaitu, Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr. Tiki Lafe; Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) serta Datuk Fadillah Yusuf (Petra Jaya) menjadi kumpulan wakil rakyat pertama berjumpa dengan Perdana Menteri.

Sebaik sahaja semua wakil rakyat dari Sarawak selesai mengadakan pertemuan, sesi seterusnya membabitkan ahli Parlimen dari Sabah sebelum disusuli ahli Parlimen dari Semenanjung dimulakan dengan Johor kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam pertemuan itu, Najib yang ditemani Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi masa lima minit kepada setiap ahli Parlimen untuk menyampaikan segala masalah membabitkan rakyat di kawasan masing-masing bagi membolehkan kerajaan mencari penyelesaian.

Hadir sama sebagai membuktikan komitmen kepada pembaharuan politik yang cuba dilaksanakan Najib adalah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta beberapa bekas menteri kanan antaranya Tan Sri Syed Hamid Albar (Kota Tinggi) dan Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar).

Malah, Abdullah selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri turut memuji pendekatan kerajaan sebagai amat baik serta mempunyai fokus dan beliau berkeyakinan, jika komitmen sebegitu sampai ke peringkat akar umbi, BN akan kembali menjadi sebuah parti yang kuat.

Pada masa sama, beliau yakin, jika kesungguhan Perdana Menteri untuk melakukan transformasi politik itu berjaya diterjemahkan oleh seluruh kepimpinan UMNO dan BN, parti tersebut akan berupaya menawan kembali semua negeri yang terlepas ke tangan pembangkang pada 2008 lalu.

Sumber: Utusan Melaysia

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails