Search

Friday, September 23, 2011

'Obama Jurucakap Israel' - pemimpin Palestin

Ucapan Presiden AS di PBB hanya sokong hak Yahudi

RAMALLAH: Penduduk Palestin semalam mengutuk ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menyifatkannya sebagai memaparkan sikap berat sebelah Washington kepada Israel.
Pengulas, ahli politik dan penduduk awam Palestin berkata, ucapan Obama kelmarin, menjelang permohonan Palestin menjadi anggota PBB, menunjukkan Washington tidak mampu menjadi orang tengah yang adil antara Israel dan Palestin.
Pemimpin Hamas di Gaza berkata, ucapan itu bermakna Palestin dan dunia Arab perlu berhenti terus bergantung kepada Washington.

“Ucapan Obama menunjukkan sikap berat sebelah Amerika yang menyokong penjajah Israel dan negara Arab dan Palestin patut berhenti bergantung kepada Amerika.

“Kami menggesa pemimpin Palestin menggunakan strategi berdikari dan dunia Arab serta Islam sedar dengan keangkuhan Amerika dan Israel,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri.

Pengulas dalam tiga akhbar utama Palestin turut menyuarakan kemarahan dan kekecewaan berhubung ucapan Obama itu.
“Ucapan Obama mengecewakan mereka yang menanti sesuatu yang baru daripadanya, mencetuskan kemarahan. Ia menutup semua pintu dan tingkap yang dibiarkan terbuka oleh Presiden Palestin untuk mencari kemajuan,” menurut tulisan Talal Okal dan akhbar Al-Ayyam.

Okal menuduh Obama mendalamkan sikap berat sebelah terhadap kisah, kedudukan dan dasar Israel.

“Dia begitu ketara berat sebelah dan cinta kepada Yahudi dan Israel. Apa yang ditawarkan dalam ucapannya menunjukkan kerjasama, penerimaan penuh kepada dasar dan kehendak Israel.



“Dia terus cakap bahawa Yahudi dan Israel dikelilingi kebencian dan perang oleh negara Arab tetapi ucapannya tidak menyentuh langsung kesengsaraan penduduk Palestin,” tulisnya.

Al-Ayyam menyiarkan kartun menunjukkan Obama mengeluarkan buih keluar daripada mulut dalam bentuk Star of David ketika berucap.

Menulis dalam akhbar Al-Quds, akhbar paling laris di Palestin, ahli Parlimen Arab Israel, Ahmed Tibi, berkata ucapan Obama dibayangi ucapan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.

Walaupun pemimpin Perancis itu tidak menyokong usaha Palestin memohon keanggotaan penuh di PBB, dia mencadangkan alternatif menaikkan status pemerhati di UNGA dan jelas merujuk kepada derita penduduk Palestin, kata Tibi.

“Tidak seperti Sarkozy, yang mengulas isu Palestin dan positif hak penduduk Palestin, ucapan Obama berat sebelah.

Malah, dalam ucapan sama Obama memuji kebangkitan dan revolusi penduduk Arab terhadap pemerintahan kuku besi dan penindasan, tetapi dia tidak menyebut langsung mengenai pencerobohan Israel ke atas tanah penduduk Palestin,” tulisnya.

Di jalan raya di Baitulmaqdis Timur, orang ramai juga mengutuk ucapan itu.
“Tidak mengejutkan, Israel dan Amerika adalah satu dan Obama sudah tentu sokong Israel menentang Palestin supaya dia dipilih semula pada tahun 2012,” kata Shadi Elias, 22.

Di Ramallah, pengarah sekolah, Mohammed Zeidan, menuduh Obama bersikap adil kepada semua negara Arab kecuali penduduk Palestin.

“Apabila Obama memasuki Rumah Putih sebagai presiden, kedudukan dan aspirasinya memberikan kita harapan tetapi Obama menunjukkan kepada dunia kelmarin Amerika akan sentiasa di sisi Israel dan dia tiada beza dengan pemimpin Amerika terdahulu,” katanya. – AFP

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails