Search

Monday, October 3, 2011

Kaedah EDUTAINMENT Bantu Kanak Kanak Belajar


Education+Entertainment = Edutainment

KUALA LUMPUR – Farid Fadli, 11, kelihatan begitu asyik dan teruja sekali membaca maklumat di paparan skrin komputer yang disediakan.

Habis satu paparan, dicari lagi laman sesawang yang mempunyai kaitan dengan maklumat diingini. Tatkala matanya letih, pelajar Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda ini beralih arah ke bilik sebelahnya untuk menonton televisyen bagi merehatkan minda.

“Saya suka datang sini. Bukan sahaja dapat menggunakan kemudahan Internet untuk mencari maklumat yang disuruh oleh cikgu tetapi juga dapat membaca pelbagai jenis buku.

“Saya mula datang ke sini sejak darjah empat lagi dan saya rasa lebih baik ‘lepak’ di sini daripada membuang masa di tempat yang tidak berfaedah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi Farid, kelengkapan teknologi komunikasi maklumat (ICT) di Pusat Hipermedia Kanak-kanak@PNM (PHKK@PNM) yang terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ini berupaya menarik minat golongan sebayanya untuk menimba ilmu.

FOKUS PADA ‘EDUTAINMENT’

Berlokasikan perpustakaan kanak-kanak, PHKK@PNM mula beroperasi pada tahun 1994 dengan kerjasama ExxonMobil yang ketika itu dikenali sebagai Esso untuk mencelikkan minat kanak-kanak pada penggunaan komputer.

Dalam merealisasikan itu, pada 1993 ExxonMobil menyumbang sebanyak RM1 juta kepada PNM bagi menubuhkan PHKK@PNM yang dilengkapi dengan pelbagai perkakasan komputer, video dan audio untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Sumbangan berkenaan adalah hadiah daripada syarikat petroluem itu kepada masyarakat sempena sambutan ulangtahun ke-100 beroperasi di Malaysia pada 1993.

Kini, selepas beroperasi selama hampir 17 tahun, PHKK@PNM berubah wajah. Jika sebelum ini hanya dikenali sebagai PHKK kini dengan suasana menarik, peralatan canggih, ia dikenali sebagai PHKK@PNM dan ekoran nafas baru yang diterimanya ia akan dilancarkan semula pada Selasa (4 Okt, 2011).

Ekoran proses naik taraf yang bernilai RM175,000 hasil sumbangan Exxonmobil, PHKK@PNM menawarkan persekitaran kondusif di setiap bilik, merangkumi bilik komputer, bilik cerita dan bilik muzik.

Akan tetapi, apakah rasional menyediakan kemudahan set karaoke serta tayangan pelbagai jenis program animasi televisyen?

Bukankah ini sudah menyimpang daripada tujuan sebenar penubuhan sesebuah perpustakaan?

“Trend sudah berubah. Ilmu sekarang bukan hanya daripada buku, tetapi juga daripada ‘pendengaran dan visual’.

“Oleh itu, konsep perpustakaan ketika ini menggabungkan pelajaran dan hiburan menjadikannya ‘edutainment’,” kata Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Datuk Raslin Abu Bakar.

Rasional menyediakan bilik cerita dan karaoke itu, adalah sebagai daya tarikan bagi kanak-kanak dan supaya mereka mencintai perpustakaan. Mengulas lebih lanjut, Raslin berkata ia sebagai platform untuk merehatkan minda kanak-kanak setelah membaca buku konvensional.

HIBURAN, TETAPI BERILMU

Dalam menyangkal singkatan sinis PBM (pusat buang masa) terhadap pusat itu, Raslin berkata elemen hiburan mempunyai kelebihan tersendiri dalam menarik minat kanak-kanak.

Biarpun begitu, hiburan yang ditawarkan di PHKK@PNM bukanlah yang tidak berfaedah ataupun dalam erti kata lain, tidak ada unsur pendidikan.

Sentiasa dipantau penggunaan Internet, jenis animasi yang ditayangkan serta pemilihan lagu sesuai, ia bertujuan memastikan agar matlamat untuk merangsang minda kreatif dan inovatif dalam kalangan kanak-kanak berjaya.

“Di bilik komputer, kanak-kanak boleh bermain ‘game’. Tetapi kami hanya menyediakan ‘game’ berbentuk pelajaran sahaja yang dapat meningkatkan minda mereka.

“Begitu juga dengan bilik cerita dan muzik. Pemilihan cerita serta lagu dipastikan bersesuaian bagi menarik minat mereka untuk belajar,” katanya.

Istimewanya, bilik komputer ini turut menawarkan modul soalan “Skor A” yang menyediakan ‘tips’ serta latihan bagi persediaan kanak-kanak ini untuk menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

BUKAN SAHAJA ILMU MALAHAN NILAI MURNI

Tidak mahu sekadar menjadi sebuah pusat pembelajaran berlandaskan kepada ilmu pelajaran sahaja, PHKK@PNM menggunakan sepenuhnya peralatan multimedia yang ditawarkan di situ dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak.

Memahami individu berkualiti bukan sahaja tertumpu kepada penguasaan ilmu malah turut merangkumi nilai-nilai murni yang menjana kepada modal insan seseorang itu.

Atas faktor itu, pemilihan cerita animasi serta lagu karaoke di bilik muzik akan diteliti sepenuhnya bagi memastikan hanya yang bersesuaian sahaja dipilih .

Justeru, siri animasi dan drama televisyen yang kaya dengan nilai-nilai murni dan elemen patriotisme serta cintakan sejarah seperti Upin dan Ipin, Leftenan Adnan, Darah Satria, Sarjan Hassan menjadi pilihan untuk ditayangkan.

Begitu juga dengan lagu. Lagu-lagu rakyat yang sememangnya kaya dengan nilai-nilai murni akan dijadikan pilihan dalam pemupukan sahsiah mulia seseorang kanak-kanak itu.

SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN

Tidak sekadar dilengkapi fasiliti sahaja, tetapi pelbagai program telah dianjurkan merangkumi teknik meneroka maklumat dan sebagainya.

Justeru, tidak menghairankanlah apabila konsep PHKK@PNM berjaya menarik minat kanak-kanak dan dari 1994 hingga Ogos tahun ini, seramai 652,038 kanak-kanak telah menggunakan perkhidmatan itu.

Tidak sekadar meliputi kanak-kanak ibu kota, malah aktiviti yang dianjurkan bersama ExxonMobil ini turut meliputi luar kawasan seperti Negeri Sembilan, Kelantan, Perak dan sebagainya.

“Bagi mencelikkan kanak-kanak ini dengan penggunaan komputer, kami telah mengadakan aktiviti seperti Kem Komputer sejak tahun 1995 lagi dan kini ia dikenali sebagai Kem Remaja Siber.

“Penginapan turut disediakan dan mereka akan didedahkan dengan penggunaan komputer, Internet sepanjang kem itu,” katanya.

Antara program yang dijalankan seperti Bersama Meneroka Maklumat Digital, Infohunt, Jom Karang dari Internet, Kuiz Rukun Negara, Kuiz 1Malaysia, Kuiz Merdeka dan yang lain.

EXXONMOBIL KOMITED PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Menyedari sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melahirkan generasi berkualiti, ExxonMobil menerusi PHKK@PNM terus komited dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh PNM.

Difahamkan sejak tahun 1993, sebanyak RM1.3 juta telah dibelanjakan ExxonMobil dalam menaiktaraf pusat tersebut termasuk membeli komputer multimedia dengan perisian interaktif pendidikan mengenai sains, matematik dan penguasaan bahasa.

Malah ExxonMobil turut meniktikberatkan kanak-kanak yang tergolong dalam Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan menyediakan perisian JAWS (Job Access With Speech) di PHKK@PNM yang membantu orang buta menggunakan komputer dan melayari Internet.

Mengulas akan perkara ini, Pengarah Urusan Perniagaan Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia Fatimah Merican berkata PHKK@PNM ini bukan sahaja meningkatkan kreativiti kanak-kanak malah keyakinan diri mereka.

“Ketika saya melawat PHKK tadi, saya kagum kerana ada kanak-kanak yang mewujudkan blog sendiri, ada juga yang sedang membaca sejarah. Benda-benda ini menarik perhatian kanak-kanak.

“Macam karaoke yang disediakan, konsep itu bagus. Kadang-kala kita memandang remeh karaoke tetapi ia sebenarnya membina keyakinan diri kanak-kanak itu seperti berdiri di hadapan orang dengan mikrofon,” katanya.

Difahamkan sebanyak 50 peratus daripada peruntukan RM2 juta telah dikhususkan kepada pembangunan modal insan setiap tahun.

Manakala selebihnya diperuntukkan kepada bidang keselamatan dan kesihatan, tadbir urus korporat dan meningkatkan kesedaran dalam menghargai tenaga.

Syarikat petroleum itu juga telah menyumbang sebanyak RM450 ribu kepada Perpustakaan Awam Negeri Sembilan bagi mewujudkan pusat sumber kanak-kanak hipermedia. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails