Search

Wednesday, October 19, 2011

Meriah : Kepulangan Tahanan Palestin Disambut


BANDAR RAYA GAZA: Berpuluh ribu penduduk Palestin mengibarkan bendera sambil bersorak kegembiraan, ketika menyambut kepulangan beratus-ratus warganya yang dibebaskan dari penjara Israel selepas perjanjian pertukaran antara tahanan dengan seorang askar Israel, Gilad Schalit.

Di Gaza, pergerakan Hamas mengadakan satu majlis khas bagi meraikan kepulangan tahanan berkenaan, sekali gus untuk menunjukkan kekuatan dan semangat perpaduan kumpulan pejuang itu yang berjaya menguasai Gaza daripada Presiden Mahmoud Abbas, lebih empat tahun lalu.
Persetujuan Israel yang terpaksa tunduk dengan syarat Hamas dan selain tekanan berterusan rakyatnya sendiri, disifatkan satu kemenangan besar kepada perjuangan kumpulan itu.
Berpuluh ribu orang bersesak di sebuah kawasan lapang di mana sebuah pentas besar dibina dan dihiasi dengan gambar Schalit, yang ditangkap pada Jun 2006 di sebuah pangkalan tentera di sempadan Gaza.

Majoriti 477 tahanan dibebaskan sebagai pertukaran dengan Schalit semalam, adalah mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh rakyat Israel.

Pembebasan mereka dianggap mengingkari pendirian negara Yahudi itu sejak sekian lama untuk tidak membebaskan mereka yang pernah membunuh rakyat Israel.

Schalit ditahan lebih lima tahun lalu oleh pejuang Hamas manakala Mesir menjadi orang tengah dalam rundingan pembebasan dan pertukaran dengan tahanan Palestin.
Lebih 300 tahanan tiba di Gaza, manakala selebihnya pulang ke Tebing Barat. Perhimpunan dan sambutan besar-besaran diadakan di kedua-dua wilayah Palestin.

Salah seorang pemimpin Hamas yang dibebaskan, Yehiye Sinwar, menggesa kumpulan pejuang itu menculik lebih ramai askar Israel bagi membebaskan lebih ramai lagi tahanan Palestin. Kira-kira 6,000 rakyat Palestin masih dirahan di penjara Israel.

Kita perlu meneruskan usaha untuk membebaskan saudara-mara kita. Kita menggesa Briged al-Qassam (sayap tentera Hamas), agar menculik lebih ramai askar Israel dan ditukarkan dengan pembebasan mereka, katanya.

Sementara itu Schalit yang dibebaskan semalam dipindahkan ke Mesir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas pulang ke negaranya.

Dalam sidang akhbar yang diadakan Schalit berkata dia berasa amat gembira selepas dibebaskan dan merindui rakan serta kelaurganya.

Sebenarnya saya takut saya akan terus ditahan untuk beberapa tahun lagi kerana mendapat tahu beberapa syarat yang tidak dipersetujui pada saat akhir mungkin menyebabkan perjanjian itu dibatalkan, katanya. - AP/AFP

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails