Search

Friday, October 7, 2011

[Minyak Baru] B5 Diperkenalkan dan Digunapakai 2013

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi yakin kerajaan akan terus menyediakan subsidi bagi memastikan harga runcit bahan api B5 (adunan lima peratus metil ester sawit dengan 95 peratus diesel petroleum) apabila menyasarkan sekurang-kurangnya RM106 juta subsidi akan diperuntukkan tahun depan.

Menterinya, Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata, jumlah subsidi itu termasuk diesel biasa dan B5 manakala subsidi yang sudah diperuntukkan pada Jun hingga Disember 2011 adalah sebanyak RM23.65 juta iaitu RM4.26 seliter.


Katanya, menerusi pelaksanaan program B5 itu, sebanyak 890 tan atau 1.03 juta liter biodiesel sawit akan digunakan sebulan, lalu menyumbang kepada penjimatan hampir 12.4 juta liter diesel fosil setahun di seluruh Kuala Lumpur.

“Program ini akan dilaksanakan sepenuhnya di Wilayah Tengah (Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor) mulai 1 November 2011 bagi sektor pengangkutan dan kami dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang mengkaji cadangan untuk memperluaskan program B5 ke seluruh negara termasuk sektor industri.




“Malah, menjelang 2013 kami menjangkakan seluruh negara akan mempunyai bekalan B5 terutama di semua stesen minyak dan disebabkan itu, kerajaan memperuntukkan RM42 juta bagi program ini terutama kepada syarikat petroleum dalam kesediaan persiapan kemudahan adunan di depoh petroleum utama,” katanya pada majlis pelancaran B5 peringkat Kuala Lumpur di BHPetrol Jalan Kuching, semalam. Hadir sama, Pengarah Besar MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May.


Sementara itu, beliau turut menyatakan hasrat Malaysia untuk mengadakan perbincangan dengan Indonesia minggu depan mengenai cadangan struktur cukai yang dikurangkan oleh pesaing pasaran itu bagi eksport minyak sawit. “Pasaran agak terganggu dan saya merancang untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan saya di Indonesia mengenai perkara ini dan saya sedang menunggu tarikhnya. Kami juga sedang mengkaji dan Kabinet sudahpun diberikan taklimat mengenai kesannya ke atas industri,” katanya.

Ogos lalu, Indonesia mengumumkan akan menurunkan cukai eksport bagi minyak sawit mentah (MSM) kepada 22.5 peratus daripada 25 peratus sebelumnya dan ke atas produk minyak sawit bertapis (olein) kepada 13 peratus daripada 25 peratus berkuat kuasa 1 Oktober.

No comments:

Post a Comment

BOOST YOUR BLOG

Related Posts with Thumbnails